Bayi baru lahir yang sihat pun akan menangis juga sebanyak satu
hingga tiga jam sehari. Disebabkan mereka tak dapat membuat
sebarang apapun untuk diri sendiri, bayi bergantung kepada orang
lain untuk memberi mereka makanan, kepanasan dan keselesaan
yang mereka perlukan. Tangisan adalah cara bayi memberitahu
salah satu daripada keperluan itu.
Read more>>
Sebagai ibu atau bapa baru, ada masanya anda mendapati sukar
untuk menentukan apakah yang diperlukan bayi - adakah dia lapar,
sejuk, haus, bosan atau mahu dipeluk? Di hari-hari awal, apabila
anda belum lagi tahu bagainama untuk menentukan keperluan bayi
anda, tangisan ini boleh membuat anda rasa bimbang. Namun begitu,
lambat laun anda akan mula mengecam gaya tangisan bayi anda
yang berlainan dan, setelah anda lebih mengenalinya, akan dapat
mendahului keperluannya.
Semasa membesar, bayi juga akan mempelajari lain-lain cara untuk
berkomunikasi dengan kita. Mereka menjadi lebih cekap menyatakan
sesuatu dengan menggunakan mata, membuat bunyi-bunyian, dan
juga dengan senyuman, semuanya mengurangkan keperluan untuk
menangis. Sebab-sebab biasa bayi menangis disenaraikan di bawah.
Jika anda mempunyai bayi yang susah untuk ditenangkan, cubalah
panduan ini satu persatu. Dengan cara ini, anda akan terasa senang
hati sebab anda telahpun cuba memenuhi keperluan dia seberapa
banyak yang boleh.
1. Saya perlukan makanan
Kelaparan adalah sebab utama bayi baru menangis. Lebih muda
bayi itu, lebih kemungkinan dia menangis sebab dia lapar.
Pengecualian kepada ini ialah pada masa sehari dua selepas
kelahiran, apabila bayi makan amat sedikit. Jika anda mengamalkan
penyusuan badan, anda mungkin sedar akan perkara ini, sebab
susu terawal kolostrum yang sangat pekat dikeluarkan dalam jumlah
yang sedikit dan anda juga sedar bahawa susu "mula datang" sekitar
hari ketiga. Perut bayi yang kecil tidak dapat menyimpan begitu banyak,
jadi, jika bayi anda menangis, cuba berikan dia susu, sebab besar
kemungkinannya dia lapar. Dia tidak akan berhenti menangis dengan
serta merta, tetapi teruskan penyusuan jika dia mahu, dan dia akan
mula bertenang apabila perutnya terisi. Walau bagaimanapun, jika
bayi anda sudah disusukan dan dia masih menangis, mungkin dia
menyatakan keperluan seterusnya.
2. Saya perlukan keselesaan
Bayi sudah tentu akan membantah jika baju mereka terlalu ketat
atau jika lampin kotor mengganggu mereka. Setengah bayi tidak
membantah jika lampin mereka penuh - ia cuma terasa panas dan
selesa bagi mereka - manakala yang lain akan menjerit dan minta
ditukarkan dengan serta merta, terutama sekali jika kulit mereka
terasa jengkel. Memeriksa lampin bayi dan menukarkannya mungkin
akan memenuhi keperluan dia, jadi memang elok mencuba. Ia juga
memberi peluang untuk anda memeriksa yang lampinnya tidak terlalu
ketat atau tiada perkara lain bersabit pakaiannya yang membuatkan
dia tidak selesa.
3. Saya perlu nyaman dan selesa - tidak terlalu panas atau sejuk
Setengah bayi baru lahir tidak suka ditukarkan lampin atau dimandikan.
Mereka tidak biasa merasakan udara menyentuh kulit mereka dan lebih
suka dibalut panas. Jika bayi anda seperti ini, anda akan cepat tahu
bagaimana hendak menukarkan lampin dengan segera supaya bayi
anda boleh bertenang semula. Namun begitu, berhati-hatilah supaya
tidak memakaikan terlalu banyak lapis baju, sehingga dia akan terlalu
panas. Satu petua ialah dengan mengingatkan yang dia memerlukan
satu lapis pakaian lebih daripada anda untuk selesa.
Jika dia berada di kot atau raga pembawanya, cuba gunakan cadar atau
selimut berlubang-lubang sebagai kain penutup bukan duvet untuk
membolehkan anda menambah atau membuangkan satu lapisan
apabila perlu. Anda boleh memeriksa samada bayi anda terlalu panas
atau sejuk dengan merasa perutnya: jika dia terasa terlalu panas,
buangkan satu lapisan selimut, jika dia sejuk, tambah satu. Jangan
berpandu kepada suhu tangan atau kakinya, sebab adalah normal bagi
kaki dan tangan terasa agak sejuk. Memang mudah untuk membeli
termometer di Malaysia (kebanyakan farmasi menjualnya) dan anda
boleh menggunakannya untuk mengambil suhu badan bayi anda jika
kurang pasti. Kekalkan suhu di bilik bayi anda pada 24 darjah C /
75.2 darjah F, dan letakkan dia menelentang dengan kaki di hujung kot
supaya dia tak boleh turun bergeliang geliut sehingga tenggelam di
bawah selimut dan menjadi terlalu panas.
4. Saya perlu dipeluk
Setengah bayi sangat perlu dipeluk dan dimanjakan. Bayi yang lebih
tua akan menjadi tenang jika dia boleh nampak anda dan mendengar
suara anda dalam bilik, tetapi, bayi baru lebih memerlukan sentuhan
fizikal untuk menjadi selesa. Jika anda telah memberi bayi makan dan
menukar lampinnya, anda akan dapati bahawa sekarang dia hanya
mahu dipeluk. Setengah ibu dan bapa bimbang bayi mereka akan
menjadi terlalu manja jika dia didukung berlebihan, tetapi semasa
bulan-bulan pertama kehidupannya, perkara ini tidak mungkin. Separuh
bayi tidak perlu terlalu banyak sentuhan fizikal, manakala yang lain
mahu dipeluk hampir sepanjang masa. Jika bayi anda perlu banyak
didukung, anda mungkin mahu mencuba gendongan bayi, yang
membenarkan bayi anda rapat dengan anda dan membebaskan
tangan anda untuk menjalankan kerja lain; ini mungkin penyelesaian
yang akan membuat anda berdua bahagia.
5. Saya perlukan rehat
Memang senang untuk menyangkakan yang bayi akan tertidur
apabila mereka terasa nak tidur, di manapun mereka berada,
sebab kebanyakan bayi berbuat demikian. Tetapi, jika bayi anda
telah mendapat terlalu banyak perhatian - mungkin hari itu sibuk dan
ramai pelawat datang ke rumah - dia mungkin terlalu terangsang dan
mendapati sukar untuk "tutup suis" dan bertenang. Bayi baru lahir
mendapati sukar untuk mengurus rangsangan yang terlalu banyak
pada satu-satu masa - cahaya lampu, bunyi bising, di hulurkan dari
seorang saudara tersayang kepada yang lain - hingga boleh menjadi
gelisah. Ramai ibubapa mendapati bayi menangis lebih dari biasa
apabila suadara mara datang melawat, atau apabila petang menjelma.
Jika tidak ternampak sebab spesifik bayi anda menangis, dia mungkin
cuba memberitahu anda. Jika anda bawa dia ke tempat yang tenang
dan senyap, kurangkan ransangan secara perlahan, dia mungkin akan
mengeskspresikan perasaannya dengan menangis sekejap sebelum
betenang dan terus dapat tidur.
6. Saya perlukan sesuatu untuk membuat saya rasa lebih sejahtera
Jika anda telahpun memberi bayi makan dan memastikan dia selesa,
tetapi dia masih terus menangis, anda mungkin tertanya-tanya samada
dia sakit atau mengalami kesakitan. Mereka, ibubapa buat pertama kali,
sering mendapati sukar untuk mengetahui samada bayi menangis sebab
dia sebenarnya seorang yang bersifat sedih (separuh bayi begitu, dan
mereka mengambil masa yang panjang untuk menyesuaikan diri untuk
hidup di dunia) atau samada memang ada sesuatu yang tak kena. Bayi
yang sakit lazimnya menangis dengan suara yang berlainan daripada
tangisan biasa - ianya mungkin berbunyi cemas atau nyaring. Begitu juga
dengan bayi yang sering menangis; sekiranya dia mula berdiam ini
mungkin petanda yang dia kurang sihat. Yang paling penting untuk diingati
ialah tiada siapa yang mengenali bayi anda seperti anda sendiri. Jika
anda rasakan mungkin ada masalah tertentu, hubungilah ahli pediatrik
atau doktor keluarga anda. Ahli kesihatan profesional lazimnya akan
mempertimbangkan kebimbangan anda secara serius, dan anda akan
merasa lebih tenang jika diberitahu tiada sebab fizikal bayi anda menangis.
Anda mestilah memanggil doktor jika bayi anda mengalami kesesakan
nafas apabila dia menangis, atau jika tangisan diikuti dengan
muntah-muntah, diarea dan konstipasi.
7. Saya perlukan sesuatu tetapi saya tak tahu apa yang saya mahu
Kadangkala anda mungkin tidak dapat menduga apakah masalahnya
apabila bayi anda menangis. Ramai bayi baru lahir melalui masa-masa
bilamana dia meragam dan tidak senang untuk dipujuk. Ketidak
gembiraan boleh berbeza antara tangisan yang berlanjutan beberapa
minit dan tidak boleh dipujuk kepada tangisan beberapa jam pada
satu-satu masa, tangisan yang tak berhenti-henti yang kadangkala
dikenali sebagai kembung kolik. Kolik didefinisikan sebagai tangisan
yang tidak dapat ditenangkan yang berlalu selama sekurang-kurangnya
tiga jam sehari, tidak kurang dari tiga hari dalam seminggu. Ramai
ibubapa mendapati sukar untuk menguruskan bayi yang menghidap
kolik, dan keadaan itu boleh menyebabkan ketegangan bagi seluruh
keluarga. Tiada rawatan ajaib bagi kolik, tetapi keadaan itu tidak akan
berlanjutan lebih dari tempoh tiga bulan. Jika anda sentiasa boleh
mengingatkan bahawa keadaan bayi anda itu akan pulih apabila dia
membesar, itu mungkin membantu.
0 comments:
Post a Comment